Wednesday, June 2, 2010

My Name Is Khan (2010)


Ini filem paling baru aku tonton. Heronya sudah tentu Shah Rukh Khan dan heroinnya Kajol. Gandingan kedua-duanya mengembalikan kegemilangan filem Kuch Kuch Hota Hai (1998). Ternyata menonton filem ini buat aku tak bangun selama lebih dua jam (bangun pun sebab nak ambil tisu banyak-banyak).

Menjadikan autisme sebagai subjek pada subjek utama filem ini dilihat sebagai satu langkah untuk menguatkan watak Khan. Lakonan Shah Rukh Khan (atau barangkali aku patut tulis Datuk Shah Rukh Khan?) memang tak dapat disangkal. Melihat lakonan beliau mengingatkan aku kepada lakonan Amitabh Bachan dalam filem Paa (2009). Kedua-dua cukup sinonim bagi aku. Melakonkan watak yang bukan normal (kalau menjadi) memang akan cepat meninggalkan kesan kepada penonton (lebih-lebih lagi penonton biasa macam aku). Aku kira ini x-factor yang sengaja direka oleh si penulis skripnya untuk menjadikan filem tersebut unik. Namun bagi aku apa salahnya. Aku melihat ini dari sudut marketing-nya. Pendek kata ia berjaya.

Jiwa Khan sungguh jujur. Menonton filem ini membawa aku jauh dari isu-isu yang sudah ada dalam filem itu. Itu termasuklah tentang agama, cinta, kepercayaan, kekeluargaan dan macam-macam lagi sudut yang boleh sahaja dijadikan kritikan oleh sarjana filem. Lebih-lebih lagi soal falsafah yang aku kira cukup dominan dalam filem ini. Tapi bagi aku, ada sesuatu yang lebih terkesan dalam diri aku tentang filem ini.

Khan membawa aku mengembara mengenal lelaki. Khan membuat aku bertanya, adakah cinta lelaki normal sehebat Khan? Hebat bagi aku kerana Khan sanggup mengotakan janjinya pada seorang perempuan kerana cintanya. Khan, biarpun pengidap autisme, aku kira lebih bagus dari lelaki normal yang ada, yang lebih banyak mengidap pelbagai penyakit yang luar biasa. Aku kata luar biasa kerana lelaki zaman sekarang sukar untuk menjadi seorang lelaki. Ya, gagal untuk menjadi seorang lelaki, dan noktah. Banyaknya menjadi lelaki gay, lelaki ganas, lelaki gatal, lelaki tak bertanggungjawab. Kerana itu aku katakan lelaki dan noktah. Lazimnya lelaki ada tajuk lagi dihujung nama mereka.

Persoalan ini barangkali menimbulkan reaksi kurang senang pada kaum lelaki, tetapi apa salahnya lelaki-lelaki ini menjadi seperti Khan. Penyanjung wanita, sehingga akhirnya membuatkan si wanita lebih jatuh cinta pada lelaki. Bukannya lebih menyampah dengan lelaki. Ini sudut pandang aku, barangkali ada kena mengena dengan pandangan peribadi aku tentang lelaki. Maka barangkali juga pemerhatian aku dalam filem ini lebih terarah tentang Khan, sebagai seorang lelaki yang mencintai wanita.

Bukan aku tidak mahu menulis tentang persoalan lebih memihak kepada istilah-istilah perfileman seperti mise-en-scene, watak dan perwatakan atau aspek lakonannya, kerana bagi aku berlambak lagi blog-blog yang pastinya lebih layak bercerita tentang itu.

Jujurnya pada aku filem ini memberi ketinggian pemahaman tentang kemanusiaan. Agama sebagai landasan dan bukan pemisah. Aku sungguh memuji babak Khan menegur seorang ketua yang asyik menyeru kawan-kawannya untuk berperang (ooohhh berjihad katanya). Di dalam sebuah masjid pula babak itu dilakukan. Bagi aku para ulama harus melihat babak ini. Ulama barangkali seorang terpelajar, tetapi tak mustahil apa yang dipelajarinya adalah salah. Babak dalam masjid ini cukup kuat menempelak para ulama tentang jihad yang kerap digunapakai sebagai alasan untuk berperang.

Aduhhhh aku sungguh emosi bila bercerita tentang Islam. Bukan kerana aku aktivis Islamiah atau terlalu Islam. Tetapi aku kira ulama lebih bercerita (atau barangkali mereka-reka cerita) apabila menyampaikan apa yang sepatutnya. Quran adalah yang terbaik untuk mengajar manusia. Kalau ada yang kata kitab Bible itu menjadi quran orang Kristian kerana sudah ditokok tambah isinya, maka penyampaian ulama kepada orang Islam itu pula dipanggil apa? Melahirkan satu lagi kitab dan agama baru?

Ambil contoh, ulama selalu berkata;

"Bencana alam itu diturunkan kerana nak tunjuk kebesaran Allah dan nak balas segala kemungkaran yang manusia dah buat."

Aduhhhh kenapa agaknya tuhan hendak tunjuk lagi kebesaran-Nya sebab kewujudan bumi ini sudah nyata dan terang tentang kebesaran tuhan. Lagi pula bencana yang berlaku tak kira mengira mangsa. Sedangkan tuhan sendiri berkata dalam Quran, wanita dan kanak-kanak tidak boleh dicederakan dalam perang. Dan kenapa pula tuhan nak turunkan bencana pada wanita dan kanak-kanak yang terkorban dalam bencana alam. Bagi aku, bencana alam itu sains. Sains yang manusia sendiri belum faham sepenuhnya (atau barangkali buat-buat tak faham). Kerana sistem ekologi alam sudah tidak berada dalam putarannya, maka jadilah bencana alam. That simple to undestand. For me it's not God that simply want to see his ummat menderita. Why is it God so cruel to do that to his ummat. Tuhan jadikan manusia untuk dihukum-kah?

Oh my god, aku dah jauh tersasar dari filem My Name Is Khan (2010) ni nampaknya. But anyway, filem ini memang patut ditonton oleh semua manusia. Agar semua manusia faham apa itu kemanusiaan. Juga barangkali supaya manusia itu faham Islam, bukan agama yang kejam.

p/s: Paa (2009) juga bagus untuk ditonton. Cuma aku menanti untuk menonton 3 Idiots (2010). Aku suka pada filem tentang kehidupan dan kemanusiaan. Barangkali biographical film sesuai untuk aku :)

p/s: Jika sesiapa punya cadangan, email aku : marinamirana@yahoo.com

No comments:

Post a Comment