Tuesday, May 17, 2011

"Saya percaya hidup saya satu pembolehubah, walau saya tahu saya juga bukan lalang"



Hidup saya sedikit hambar sejak beberapa minggu yang lalu, itu saya akui. Sejak bertungkus lumus menghabiskan kajian ilmiah tentang gua Plato dalam filem Riri Riza, hidup saya kembali berjalan di atas tali yang lurus. Pernahlah juga beberapa kali tali itu bengkang bengkok sekejap dengan projek penyelidikan bersama Eby Johann, tapi nampaknya tali itu tidak terus bengkok. Tali hidup saya kembali lurus sebab projek tersebut berhenti sekejap meunggu approval, yang entah dari siapa pun saya kurang pasti.

Sejak itu hidup saya kembali hambar, tapi saya tetap gembira. Tak mengapa jika saya tak punya duit yang banyak untuk keluar berjalan-jalan. Tak mengapa jika tidak ada kawan-kawan yang mengajak keluar, saya tetap gembira. Siapa kata duduk di rumah tidak gembira? Saya punya semuanya di rumah yang buat saya gembira. Bonda, kakak-kakak dan abang-abang. Juga anak-anak buah yang ramai. Bonda berniaga di depan rumah, selalu ada sahaja orang yang akan datang membeli itu ini, jadi rutin saya berbeza setiap hari.

Saya percaya (malah begitu yakin) bahawa hidup saya adalah satu pembolehubah (orang lain saya tidak tahu). Semua perkara boleh diuruskan dengan banyak cara yang berbeza. Kalau tak boleh gembira dengan hanging out with friends, "hangin home" sahaja dengan anak-anak buah. Mereka (anak-anak buah) punya ratusan cerita yang takkan habis, percayalah.

Saya bukan lalang bila saya cakap hidup saya pembolehubah. Cuma saya begitu flexible dalam banyak perkara. Saya seorang yang nekad dalam keputusan saya. Tetapi demi untuk mencapai tekad saya, saya punya banyak idea bagaimana untuk merealisasikannya. Saya bukan orang yang punya satu akal dan akan kekal dengan idea itu sampai mati. Percayalah, hidup ini memang pembolehubah. Apa-apa jua keputusan kita, kita jua yang mengubahnya. Jangan salahkan orang lain.

Hidup saya mungkin hambar beberapa minggu ini, tapi saya percaya kuasa pembolehubah bahawa minggu depan hidup saya akan kembali berwarna.

Sunday, May 15, 2011

SAYA = RATU BERANGAN versi SUKARELAWAN


Saya selalu berangan, suatu hari nanti saya akan buat projek amal. Kutip derma dari jualan barangan terpakai atau hasil seni kecil yang saya hasilkan. Saya selalu berangan akan hal itu. Minggu lepas saya hasilkan seni ini (seperti dalam lukisan). Entah tujuannya untuk apa, tapi seingat saya sewaktu membuatnya saya sekadar mengisi masa lapang.

Saya selalu berharap, akan ada kumpulan-kumpulan yang bertekad untuk membuat kerja amal bersama-sama saya menyempurnakan niat suci saya ini. Seperti macam mana mudahnya beberapa kumpulan di laman-laman sosial meraih jaringan yang pantas dan ramai untuk merealisasikan projek untuk membantu mangsa-mangsa tsunami.

Bukan saya tidak mahu menyertai, tetapi di negara saya juga masih banyak insan yang memerlukan bantuan yang pelbagai. Bantuan kewangan, bantuan fisikal, bantuan emosi dan jutaan lagi bantuan yang boleh saya salurkan. Tapi malangnya saya hanya berangan sahaja. Itu kelemahan saya, "ratu berangan".

Malah di rumah juga saya selalu berangan (walaupun pernah cuba beberapa kali menyatakan hasrat ini pada ibu, tapi tak ubah seperti berangan juga) bahawa bonda akan mengadakan kenduri atau parti hari jadi untuk saya dan anak-anak buah yang lain yang dihadiri oleh anak-anak yatim. Saya berangan untuk menjamu anak-anak yatim ini, kerana saya berpendapat bahawa kenduri dan parti yang bonda selalu buat selalu dihadiri oleh orang-orang yang mampu mencari rezeki sendiri, dan bukannya anak-anak yatim ini. Tapi seperti saya kata tadi, saya memang "ratu berangan". Tetapi saya hendak berkongsi kudrat, kepada sesiapa yang berminat untuk melakukan kerja amal, panggillah saya menyertainya. Saya memang berminat.

Saya teringat pada seorang rakan yang kini menyambung pelajaran di seberang. Dia pernah menyertai satu pertubuhan yang menyumbangkan makanan untuk gelandangan di KL. Ohhhh itu sudah bagus, saya fikir. Namun program tersebut tiada lagi untuk saya sertai.


Hasil seni ini sangat chomel diletakkan di dalam bingkai gambar sebagai hadiah hari jadi dan saguhati atau apa jua tujuannya. Percayalah! Seorang kawan anak buah saya meloncat gembira mendapat sebuah kad yang ada anak patung berambut merah jambu (seperti gambar no.2 di atas). Teruja katanya ada orang sanggup belikan sebuah kad buatan tangan.

"Exclusive," tambah beliau.

HARI-HARI = ISTIMEWA



Hari ini Hari Guru.
Minggu lepas Hari Ibu. Juga hari jadi bagi abang long saya dan anak buah saya. Minggu depan (kalau tak silap saya, atau beberapa minggu lagi) Hari Bapa pula. 2 minggu lagi hari jadi my lil' heart, ANJE.

Terlalu banyak hari yang hendak disambut. Motifnya cuma satu, hendak meraikan orang istimewa pada hari tersebut. Hari lain tak istimewa ke?

Hari saya, hari-hari tetap istimewa.

Friday, May 13, 2011

SAYA = SAYA



Saya selalu bermimpi menjadi orang lain. Malah bonda juga selalu membandingkan saya, seolah-olah saya adalah orang lain. Saya cuba sekuat yang mampu menjadi orang lain, tetapi selalu gagal. Lebih gagal dari cuba menjadi diri sendiri.