Wednesday, March 26, 2008

Pagi yang indah di R & R Sungai Buloh


Pagi tadi aku sempat duduk beberapa jam di R&R Sungai Buloh. Jangan ditanya kenapa dan bagaimana aku boleh berada di sana. Semuanya kerana satu sebab yang mungkin tidak masuk akal (mungkin bagi sesetengah orang, mungkin juga tidak), dan kerana itu biarlah aku simpan sahaja jawapannya.

Apa yang menariknya di sini tidak dapat aku nyatakan dengan jelas. Tapi kemudahan yang disediakan sememangnya antara yang terbaik pernah aku pergi di mana-mana R&R. Pendek kata aku tidak malu untuk menggunakan mana-mana kemudahan yang ada di sini lebih-lebih lagi kemudahan tandas yang disediakan. Kalau kotor, aku rasa segan nak masuk sebab memikirkan inilah hidup masyarakat Malaysia.

Aku sekadar berehat beberapa jam di sini. Namun ada beberapa perkara yang mengajak pandangan aku daripada terus lena di sini. Dek kerana pemilihan tempat letak kereta yang diletakkan berhadapan dengan tandas awam yang disediakan di sini, aku dapat melihat betapa ramainya manusia di R&R Sungai Buloh ketika itu.

Manusia masuk silih berganti. Manusia datang dan pergi. Manusia saling menyelesaikan hal-hal mereka. Yang ke tandas sudah tentu ramai jumlahnya, yang ke bilik air untuk mandi juga ramai. Mungkin kerana kawasan R&R Sungai Buloh ni jadi tumpuan para pemandu lori untuk berehat dan mandi sebelum meneruskan perjalanan di awal-awal pagi. Jadi pada aku itu satu kelaziman.

Satu yang bermain-main dalam fikiran aku adalah selain pemandu lori, kenapa begitu ramai yang menggunakan kawasan R&R Sungai Buloh ini untuk mandi? Nak kata musim cuti sekolah, tidak juga. Kalau alasan itu mungkin aku boleh terima, namun sekarang bukanlah cuti sekolah di mana ramai penduduk Malaysia pergi bercuti dan dek kerana tidak sempat hendak mandi sebelum sampai ke destinasi yang dituju, R&R adalah pilihan yang tepat untuk membersihkan diri dan menyegarkan badan sebelum meneruskan perjalanan.

Dan aku masih bingung setiap kali manusia-manusia ini silih berganti.

Ada yang memandikan anaknya. Kemudian si bapa terkejar-kejar memakaikan anaknya baju sekolah (aku yakin kerana nampak baju kemeja berwarna putih siap berlencana dan seluar panjang berwarna biru gelap). Kekadang si ayah tidak sabar juga dengan karenah si anak yang bergurau-gurau untuk bersiap ke sekolah. Mungkin si ayah hendak cepat. Ya... kerana waktu itu menghampiri jam 6.40am. Ohhh bayangkanlah pada waktu itu manusia silih berganti di R&R. Soalan aku, mereka tidak berumahkah sehingga terpaksa mandi di R&R? Atau mungkin semalam mereka dari destinasi yang jauh, dan kemudian terus ke tempat kerja selepas menghantar anak ke sekolah? Tentunya mereka sudah menyediakan sejumlah pakaian di dalam kereta untuk bersiap-siap di R&R. Tapi aku masih bingung memikirkan perkiraan aku ini...

Di sudut yang lain pula kedengaran si polan A menegur si polan B;

"Ehh Ahmad, kan?"

"Ya. Ni Budi, kan?"

"Laaa... Lama tak jumpa. Apa Khabar sekarang?"

"Alhamdulillah sehat. Buat apa kat sini?"

(selebihnya aku tak dapat dengar perbualan mereka kerana mereka sudah berlalu pergi dari jarak kereta yang aku naiki, dan aku yakin perbualan mereka pasti berakhir dengan secawan teh atau kopi di kedai di hujung jalan)

Hmmm di sini juga jadi medan pertemuan antara kawan-kawan lama yang tiba-tiba secara kebetulan berjumpa di sini. Seronok juga tengok ragam-ragam orang kat sini.

Tiba-tiba aku terdengar riuh rendah suara-suara orang bersembang. Riuhnya dah jelas kedengaran tapi kelibatnya tak kelihatan lagi. Aku mencari-cari suara riuh itu. Dan hati aku mengagak-agak empunya suara. Semakin lama suara itu semakin dekat. Bila dah nampak yang empunya diri punya suara, sah apa yang ada dalam hati aku sebentar tadi tiada salahnya. Bukan suara si Melayu, juga bukan suara si Cina. Dan tentunya suara selain si Melayu dan si Cina yang riuh rendah tadi. Ragam manusia ini yang buat aku tersenyum. Sinonimnya mereka dengan keriuhan memang tidak dapat disangkal, tak kiralah di mana pun mereka berada, juara keriuhan tetap pada mereka.

Dan kemudian mata aku tertumpu pula pada seorang lelaki yang asyik mundar-mandir di hadapan kereta yang aku naiki. Lagaknya persis eksekutif. Sambil tangannya ditekan kuat-kuat pada telefon bimbit di tangannya. Barangkali geram kerana tidak dapat disambung ke talian yang ingin dihubungi. Mungkin juga hendak menunjuk telefon bimbit mahalnya. Pada aku lebih baik duduk diam-diam dan menarik nafas dalam-dalam untuk bertenang. Dok ke kiri ke kanan dari tadi, aku pun jadi pening. Tapi tidaklah sehingga mengganggu mindaku. Cuma kalau diberi pilihan mahu saja aku jeritkan pada si lelaki ini agar mundar-mandir sahaja di tempat lain. Aku letih mengikut pergerakannya ke kiri dan ke kanan. Ahh dan akhirnya dia berlalu pergi dengan keretanya yang berada di sebelahku.

Datang pula sebuah lagi kereta disebelah kereta yang aku naiki. Sebuah kereta keluarga agaknya. Kerana kelihatan si ayah dan si ibu. Juga anak lelakinya, dalam lingkungan lewat belasan tahun atau mungkin awal 20-an. Mereka kemudian silih berganti membersihkan diri. Dan kemudian bila si ibu selesai membersihkan diri, terus si ibu mengambil kain telekung lantas ke surau yang berdekatan dengan tandas awam itu. Hati aku tersentuh. Barangkali teringat bonda yang berada di rumah. Barangkali juga kerana merindui bonda yang sudah dua hari tidak bersua muka. Namun aku sekadar teringat kerana bila si ibu tadi sudah selesai bersolat dan si anak juga sudah selesai mandi. Si ibu bertanya;

"Ada bawak kain ke nak solat?"

"Takpelah mak. Orang tak bawak."

"Kalau tak bawak, pakai aje kain ayah."

"Tak payahlah mak."

Dan si anak terus-terus berdolak-dalik. Akhirnya si ibu malas mahu menyuruh. Didiamkan sahaja kelakuan si anak. Kemudian mereka sama-sama ke kedai makan, hendak bersarapan pastinya. Aku tersenyum mengenangkan hal ini. Kerana perkara yang sama juga berlaku kepada keluarga aku. Juga kepada aku. Punyalah liat nak bersolat. Macam-macam alasan aku boleh wujudkan. Bunyinya memang tidak baik tetapi aku pasti ramai juga di luar sana yang pernah menghadapi situasi seperti ini.

Aku toleh ke jam di dashbord kereta, hmmmm... Melepasi pukul 7.00am. Tampaknya orang disebelah aku nyenyak tidur. Nak ku bangunkan terasa kasihan. Memandang dirinya nyenyak tidur cukup membuaikan. Cukup indah. Terasa ingin sekali aku mendakap damai tubuh itu. Terasa ingin mengusap wajahnya. Dan akhirnya aku hanya melabuhkan tanganku perlahan-lahan di pehanya. Niat sekadar mengalirkan kasih yang mendalam padanya. Namun tanpa sedar aku membangunkannya. Riak pertamanya adalah senyumannya. Cukup indah untuk buat aku juga tersenyum. Dan selepas itu senyuman itu yang buat aku rindukan tentangnya...

Dan itulah kisahku beberapa jam di R&R Sungai Buloh. Antara ragam-ragam manusia yang aku perhatikan. Dan antara ragam-ragamku yang orang lain perhatikan. Tapi kedua-duanya cukup indah bila hati dan kasih berada dalam kedamaian...

- Seawal pagi di R&R Sungai Buloh, 26 Mac '08, bersama dua hati yang kerinduan...

No comments:

Post a Comment