Tuesday, February 10, 2009

"Bila Mama Nak Bangun," tanya Anje






Ini gambar anak buah aku. Anje. 5 tahun.

Semalam (Jumaat) dia berjaya membuat aku cuba untuk tidak menangis. Tetapi percubaan aku gagal.

“Bila mama Anje nak bangun?”

“Mama mana? Ni kan mama,” aku menunjukkan diriku sebagai mama.

“Hei tu bukan mamalah. Tu acu.”

“Mama Denial ngan Alex?” aku merujuk kepada kakak ipar aku yang lain.

“Bukan! Mama Anjelah. Bila mama Anje nak bangun?”

Pertama kali aku hilang jawapan kepadanya.

Dan tanpa diminta-minta air mata aku berbuntal-buntal telah pecah dari kelopak mataku.

Sepanjang aku menjaganya empat tahun, inilah kali pertama dia mempersoalkan tentang ibunya. Aku jadi sebak. Sungguh sebak. Sebelum ini dia pernah bercerita tentang ibunya yang tidur, tetapi tidak pernah mempersoalkan bila ibunya akan bangun. Tapi kali ini soalannya benar-benar menunjukkan dia mula faham apa itu ibu.

Ibunya, kakak ipar aku. Meninggal sewaktu dia masih lagi baru mengenal apa itu susu tetek ibunya. Terlibat dengan kemalangan. Miracle tuhan turunkan pada Anje tatkala tiada sedikit pun luka di badan yang baru enam bulan melihat dunia. Walhal kakak ipar aku dah tercampak keluar dari vannya.

Seminggu koma di HKL. Akhirnya tangisan amukan Anje pada hari ketujuh sebagai tangisan terakhir yang kakak aku dengar sepanjang hayatnya. 2004 sekali lagi membuatkan aku kehilangan orang tersayang selepas bapak aku pada tahun 1995.
Sedih kehilangan bapak tak sama dengan sedih kehilangan kakak ipar aku. Sebabnya bapak aku pergi mengejut dan aku tidak rapat dengan bapak aku. Tapi sedihnya datang bila dah besar. Pelik, kan? Berbeza dengan kakak ipar aku. Seminggu bergilir-gilir menunggu di wad ICU benar-benar meninggalkan kesan kepada aku. Ia umpama sebuah harapan yang sengaja dimusnahkan. Kami menjaganya dengan harapan. Tapi ia musnah dengan kematian!

Pada hari jenazah kakak ipar aku di bawa pulang sebelum disemadikan, abang Anje (ketika itu umurnya 8 tahun) duduk rapat-rapat dengan abang dan kakaknya yang lain.

“Nanti dah tanam, mama boleh balik lagi kan?”

Aku mendegar soalan itu. Tapi aku lari ke dapur dan membiarkan air mata menguasai aku.

Sukar untuk menjawab. Aku lari bukan sebab aku malu menangis di hadapan khalayak. Emosi bukan lagi perasaan yang perlu disorok-sorok ketika itu. Cuma aku benar-benar tidak ada jawapan untuk soalan itu.

Ohhh anak, kalaulah aku dapat huraikan tentang kematian ketika itu, pasti kau tak mahu mendengar jawapan soalan kau.

Dia bukan tidak faham. Malah sewaktu doktor menyampaikan ibunya bukan lagi miliknya di dunia, dia menangis. Dia menangis ibarat dia faham ibunya sudah mati. Barangkali fikirannya berbalam-balam antara mahu menerima kenyataan atau sebaliknya. Entah. Aku tak pasti. Tapi syukur kerana tahun demi tahun dia (juga seluruh ahli keluarga kakak ipar aku) semakin faham tentang ketiadaan ibunya. Abang Long juga tidak semurung dulu. Aku melihat ketabahan dia walaupun aku tak suka Abang Long aku. Jujur.

Tentang Anje kembali.



Adakah jawapan tentang segala soalannya tentang ibu?

Sekali lagi aku cuba untuk tidak menangis.

2 comments:

  1. Anje is very lucky to have you...and we can continue to extend our prayers to her late mom...Al Fatihah..Be strong babes, Anje really looks up to you...

    ReplyDelete
  2. I tried so hard not 2 cry olso..But how come i not 2 cry bcos 'Mama Anje' is one of my Luvly Auntie..May Arwah Makcik Ah rest in peace..Amin.

    ReplyDelete