
Pagi yang indah ini,
tersenyum sendiri,
ciap miap burung di luar jendela,
seakan memanggil namamu,
jika ku punya mata,
nun di atas angkasa,
kan ku tengok dikau,
setiap ketika,
di mana saja kau berada...
Indah sungguh alunan lagu ini termasuk suara si penyanyinya sekali. Bila saat aku terdengar sahaja lagu ini, pasti sebuah senyuman menguntum di bibirku. Aku tersenyum kerana ia seolah satu motivasi di pagi hari, yang bisa saja buat aku bersemangat untuk meneroka dunia ini.
Dan pagi ini, seperti hari-hari yang lain, indah sentiasa...
Cuma perbezaan ruang dan tempat yang memberi aku satu perasaan baru kepada diriku sendiri.
Ahh berada di tempat baru bukan sesuatu yang terlalu asing bagi aku. Kerana aku jenis yang tidak pedulikan apa persekitaran akan lakukan kepada aku, yang penting pada aku adalah apa yang aku akan lakukan terhadap persekitaran. Memang kadangkala aku berasa takut untuk berhadapan dengan sesuatu yang baru, bimbang segalanya serba tak jadi. Bimbang segalanya serba kelam kabut. Namun setelah hari demi hari aku pelajari dari kata-kata beberapa rakan dan juga observasi aku sendiri, aku yakin tiada apa yang boleh terjadi pada aku. Kalau ada apa-apa yang berlaku pun itu adalah atas kecuaian aku sendiri.
Jadi, di sini aku. Di sebuah tempat yang begitu terasing bagi yang tidak tahu di mana Puncak Perdana berada. Ya... aku kini menghuni di Puncak Perdana. Ini rumahku kini, ini hostelku. Di sini aku akan bersama teman-teman yang lain, untuk meraih segulung ijazah.
Hari pertama di hostel memberi seribu satu perasaan kepada aku.
Gembira...sebab senang nak belajar.
Takut...sebab aku tak pernah duduk hostel sebelum ni.
Teruja...sebab aku boleh cuba untuk berdikari sendiri.
Best...sebab tak payah bangun pagi-pagi sangat.
Malas...sebab kena basuh baju sendiri.
Senang...sebab tak payah drive pagi-pagi nak ke kelas.
Rindu...sebab rindu nak main-main dengan girl, rindu bonda, rindu bilikku yang sentiasa pink.
Semua perasaan ni bercampur-campur bila aku utarakan pada bonda yang aku bersungguh-sungguh nak duduk hostel semester ni. Dan terima kasih pada 'seseorang' yang paling aku sayang sebab membolehkan aku duduk di hostel semester ini. Ohh terlalu ramai orang yang sayang pada aku. Terima kasih tuhan.
Cuma hati aku sedikit kesal. Kesal kerana bonda tidak menghantar aku untuk pertama kali duduk di hostel. Memang kuakui aku sudah besar, cukup besar untuk dimomokkan dengan pujukan bonda untuk menghantar aku ke hostel. Namun hati kecil aku tetap bersuara dan tanpa aku sedari ada manik-manik halus yang terasa hangat melintasi pipiku. Bukan aku minta untuk dimanjai sedemikian rupa di kala umur aku sudah menjangkau 25 tahun ini. Cuma masih segar lagi di fikiran aku bagaimana kali pertama Kak Maria memasuki kolej dan juga kali pertama dia menjejakkan kaki ke hostelnya.
Ahh terlalu indah ketika itu. Sebagai adik (ketika itu aku berada di tingkatan 5) aku cukup teruja dengan kemasukan kakak ke kolej. Semuanya ketika itu berlalu dengan pantas. Dan bonda, malah aku sendiri begitu teruja menyediakan segala persiapan dan keperluan kakak untuk memasuki ke hostel.
Bantal.
Bantal golek.
Selimut.
Baldi.
Cadar.
Sabun.
Berus gigi.
Mug.
Jam dinding.
Baju baru.
Alat-alat tulis.
Beg.
Pad.
Buku-buku.
Tuala.
Malah kasut juga dibeli baru.
Pendek kata semuanya serba baru. Dan aku tumpang gembira ketika itu. Terlalu gembira tanpa sebarang prejudis sedikit pun terhadap kasih sayang bonda kepada kakak. Dan saat aku mahu pulang dari menghantar kakak ke hostelnya di Perak, akulah antara orang yang paling kuat menangis tak mahu berpisah dengan kakak. Maklumlah kami kan 'kembar'. Sukar sekali rasanya mahu berpisah jasad ketika itu.
Namun kenangan itu sudah hampir 8 tahun aku tinggalkan. Dan selama itu, ia masih segar dalam fikiranku sehinggalah giliran aku pula tiba beberapa hari yang lalu. Ia semakin kuat menerjah kota-kotak fikiran aku betapa aku juga ingin dilayan bonda sebegitu. Aku juga ingin bonda membelikan aku ini dan itu seperti mana bonda bersusah payah menyediakan segala kelengkapan kakak tatkala kali pertama menjejakkan kaki ke hostel.
(Ahhh air mata, jangan kau tewas. Tahanlah sedikit lagi.)
Tetapi, semuanya aku lakukan sendiri. Dari hal memohon untuk menduduki hostel sehinggalah saat aku mengangkat sendiri semua keperluan aku memasuki kereta dan mengangkatnya kembali dari kereta ke bilik aku, semuanya tiada tangan bonda yang menghangatkannya.
Ohhh pilunya hati aku. Terlalu pilu sehingga aku rasakan tiada ertinya jika aku mengalirkan air mata sekali pun. Namun tidak pula aku suarakan kepada bonda. Namun tidak pula aku meminta-minta pada bonda. Namun tidak pula aku mengeluh sedikit pun.
Adakah aku terlalu kanak-kanak bila mahu lagi diperlakukan sedemikian oleh bonda?
Adakah aku terlalu mengada-ngada terhadap bonda?
Adakah aku terlalu mementingkan diri dan perasaan sendiri sehingga mahu bonda juga melayan aku seperti bidadari?
Bonda, maafkanku. Bukan niat mahu mempersoalkan kenapa aku tidak dilayan seperti kakak. Bukan niat aku untuk mempersoalkan kasih sayangmu.
Bonda, cuma anakmu ini juga mendambakan perlakuanmu seperti mana bonda melayan kakak ketika pertama kali dia menjejakkan kaki ke hostelnya. Terlalu banyakkah permintaan aku bonda? Maaf sekali lagi bonda, bukan niat menghitung kasih sayangmu.
Dan ketika saatnya aku merenung kembali mengapa bonda bersikap sedemikian, air mataku tidak tertahan-tahan lagi. Biar aku lepaskan tangisan ini. Biar aku buang semua perasaan curiga pada bonda.
Bonda, aku tahu kau tahu aku pandai menjaga diri.
Bonda, aku tahu kau tahu aku takkan menyusahkanmu.
Bonda, aku tahu kau tahu aku pasti dapat lakukannya tanpamu.
Dan Bonda, aku tahu kau tak mahu aku berjauhan denganmu.
Mungkin itu sebabnya bonda berpura-pura tidak kisah dengan situasi aku yang teruja untuk duduk di hostel. Ya...kerana bonda cuba mengalihkan kesedihannya. Bonda cuba menyembunyikan betapa bonda juga sedih seperti aku.
Dan segala perasaan pilu itu lenyap bila saja aku yakin kau mempunyai sebab yang kukuh kenapa bonda bersikap sedemikian. Dan aku tahu kau telah merestui aku dalam setiap langkahku. Itu adalah pengorbanan terbesar bonda terhadapku.
Terima kasih bonda kerana kau terlalu mempercayaiku. Aku tidak berjanji, tetapi seboleh-bolehnya aku akan buat yang maha terbaik untuk kau lihat aku berjaya.
Aku tak pandai mengarang puisi,
tidak ku pandai memadah berseni,
satu kalimah yang ku seikhlas tahu,
hanyalah ku cinta padamu...bonda...
Dan pagi ini aku menguntum senyuman lagi. Ahh indah sungguh hari-hari yang bakal mendepani aku...
_hanya sebuah perasaan_
Jan 22 '08
No comments:
Post a Comment